Wednesday, July 18, 2007

SEMUA TERKORBAN

SUMBER UTUSAN MALAYSIA

GENTING HIGHLANDS 17 Julai – Mayat enam krew bersama bangkai helikopter Nuri yang hilang sejak Jumaat lalu, ditemui di hutan tebal Gunung Bunga Buah tidak jauh dari terowong Genting Sempah di sini, petang ini. Kesemua mayat ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) darat pada pukul 1.24 petang itu masih sempurna dan berada di kedudukan masing-masing dalam helikopter itu. Pasukan SAR menemui kesukaran untuk membawa keluar mayat mangsa kerana keadaan hutan tebal dan operasi udara terpaksa dihentikan pukul 7.45 malam. Bagaimanapun, difahamkan operasi darat tetap diteruskan dan pasukan komando telah dikerahkan untuk mencari jalan bagi membawa jenazah keluar pada malam ini. Mereka yang terkorban ialah juruterbang Kapten Nor Azlan Termuzi, 29, pembantu juruterbang Kapten Nor Intan Asykeen Mohd. Arof, 27; Flait Sarjan Khusnizaim Ariffin (kuarter master udara), 34; Flait Sarjan Mohd. Azmie Md. Yassin, 35; Laskar Udara Kanan Saifulizam Alias, 28, dan Laskar Muhammad Ridzuan Ahmad, 27.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam sidang akhbarnya di ibu negara berkata, nahas itu dipercayai berpunca daripada faktor cuaca buruk. “Laporan awal menunjukkan cuaca buruk adalah faktor terbesar yang menyebabkan nahas helikopter itu,” katanya yang juga Menteri Pertahanan dan turut merakamkan takziah kepada keluarga mangsa.

Ketika bangkai helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu ditemui, tiada tanda-tanda ia meletup namun kepala pesawat tertanam di dalam tanah dipercayai menjunam ketika terhempas sementara ekornya patah serta tersangkut pada pokok.
Kipas helikopter pula tertanggal dari badan pesawat dan difahamkan sehingga kini ia belum ditemui. Bangkai helikopter dan mayat krew terbabit ditemui sepasukan anggota Batalion Ke-17 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), 10 Briged Para yang ditugaskan melaksanakan operasi SAR di kawasan tersebut. Lokasi penemuan itu ialah pada ketinggian 610 meter (2,000 kaki) di tenggara Gunung Bunga Buah, atau lima kilometer ke barat laut dari sebelah kiri terowong Genting Sempah dan dua batu nautika ke barat daya Awana. Helikopter berjaya ditemui genap 100 jam selepas ia berlepas dari Pangkalan Udara Kuala Lumpur di Sungai Besi pukul 9.25 pagi Jumaat lalu menuju Pangkalan Udara Kuantan. Ia terputus komunikasi dengan menara kawalan pangkalan tersebut selepas kali terakhir memberi laporan kedudukannya iaitu berada di ruang udara Batu Caves pada pukul 9.35 pagi.

Satu minit kemudian, seorang penumpang helikopter itu menghubungi menara berkenaan menggunakan telefon bimbit tetapi terputus sebelum panggilan dikesan dibuat dari menara pemancar Maxis di pencawang Kilometer 36.5, Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak.

Dalam pada itu, operasi menghantar pasukan komando dan penyiasat untuk mengeluarkan mayat-mayat krew Nuri terbabit berhadapan kesukaran apabila pesawat-pesawat pengangkut gagal mendarat ekoran ketiadaan kawasan lapang. Malah hutan yang terlalu curam menyebabkan anggota pasukan itu hanya boleh diturunkan kira-kira dua kilometer dari lokasi penemuan mayat-mayat mangsa dan bangkai helikopter itu pada kira-kira pukul 6.20 petang. Dua helikopter Nuri digunakan untuk membawa 16 Pasukan Khas Udara (Paskau) manakala sebuah helikopter MI 171 milik Jabatan Bomba dan Penyelamat membawa empat pegawai Lembaga Penyiasat TUDM dan sembilan pasukan SAR jabatan itu.
Tembakan bom asap terpaksa dilepaskan pada pukul 7.35 malam sebanyak tiga kali setiap lima minit untuk membolehkan pesawat penyelamat mengetahui kedudukan sasaran.
Kesemua anggota Paskau turut diarahkan membina pendaratan helikopter untuk memudahkan operasi membawa keluar mangsa.

Terdahulu, bermula pukul 7 pagi ini, operasi mencari mangsa dijalankan dengan melibatkan keseluruhan 1,386 anggota SAR di darat dan melibatkan 15 pesawat.

Berderau darah aku bila baca message yani dalam YM petang semalam. Pemergian mereka membuat aku sayu, walaupun mereka bukan ahli keluarga aku. sebagai saudara sesama islam dan peranan mereka aku rasa sebak. dalam masa yang sama aku rasa, kecewa dengan komen Dr Megat masa kelas hari ahad hari yang kata kawasan tu bukan macam kat sarawak yang kejadian di Ba'kalalan. Aduh pedihnyer, begitu rupanya anggapan mudah orang terhadap kejadian ni. Bila dah ada kat hutan, apa2 pun boleh berlaku, kita perlu pandang dari sudut kawasan, helly tu sendiri dan keadaan cuaca masa tu. takpelah kalau dah pemikiran dia mcm tu. Malam tadi, hubby call bagi tahu yang dia baru balik dari rumah arwah kapt nor intan bagi tau perkembangan. Kepada semua keluarga yang terlibat, pengorbanan ini amat besar. disedekahkan AL-FATIHAH, SEMOGA KESEMUA MANGSA NAHAS DITEMPATKAN DIKALANGAN MEREKA2 YANG BERIMAN.

0 comments: