Thursday, September 13, 2007

i need to think more than twice..

last week, balik dari bera...aku dah bagitau kat hubby, i feel tired....duduk berdua dengan affan jer....siap nangis2 lagi...eleh emosi la pulak aku ni, sebab uzur kot!, bila discuss2...terpujuk jugak akhirnya...hubby mintak kesabaran....sampai habis course ni, then dah tahu bertugas kat mana, aku boleh berenti....insyallah study dah tinggal lagi 3 sem jer, Ya Allah...berikanlah aku kekuatan. Then this morning, baca paper b.harian....adalah tajuk Wanita berhenti kerja lebih banyak hadapi kesukaran tulisan Nor Afzan Mohamad Yusof. rasa macam terduduk sekejap....alahai, lemah la pulak semangat nak berenti.....so, i need to think twice...nak berenti ker???...nak kerja lagi ker??? nak sambung belajar???? atau biarlah masa akan tentukan?

Tekanan hebat mungkin dirasai apabila perlu bergantung kepada kewangan suami, anak menjarakkan diri bila dewasa. BERHENTI kerja semata-mata untuk menumpukan perhatian kepada keluarga, mungkin bukanlah keputusan yang bijak dalam usaha anda melahirkan keluarga seimbang dan kepuasan dalam diri wanita bergelar ibu serta isteri kerana lambat laun wanita berkenaan akan mengalami pelbagai tekanan. Wanita di seluruh dunia secara puratanya berhadapan masalah sama, berjuang dalam mempertingkatkan ekonomi keluarga serta negara menerusi kerjaya atau memutuskan untuk terus berhenti kerja, dilema yang pastinya mengundang pandangan berbeza bagi setiap individu.

Penulis dan wartawan, Leslie Bennetts, berpendapat sekiranya mengambil keputusan berhenti kerja tanpa ada sumber pendapatan yang lain bukan saja menyebabkan kewangan keluarga berkurangan sebaliknya boleh menjejaskan ekonomi negara pada masa depan. Katanya, kebanyakan wanita berpelajaran yang menghadapi masalah sebegini pada usia muda, apabila mula berhenti kerja, beberapa tahun selepas itu akan menjadi wanita yang bergantung sepenuhnya kepada pendapatan suami untuk menyara hidup anak serta dirinya sendiri.

Menyertai sektor pekerjaan selepas rehat yang panjang selepas itu mungkin menjadikan mereka perlu bersaing lebih keras dengan tenaga kerja baru yang muda seterusnya boleh menyebabkan wanita akan lebih kecewa berbanding sekiranya terus bekerja seperti pada permulaan hidupnya dulu.

“Ini adalah pilihan yang berisiko. Wanita yang berhenti kerja daripada sektor pekerjaan sebenarnya akan mendapati dirinya selalu akan berhadapan kesukaran. Lebih 90 peratus wanita yang berhenti kerja dan berharap akan kembali bekerja selepas bayi mereka semakin besar, lebih yakin dapat menumpukan perhatian kepada kerja sedangkan masalah menunggu di hadapan termasuklah peluang mencari pekerjaan baru yang semakin sukar sejajar pertambahan usia, kepercayaan kepada seks dan diskriminasi lain terhadap wanita di tempat kerja,” katanya pada Persidangan Wanita, baru-baru ini.

Persidangan bertemakan Meletakkan Kepentingan Wanita Dalam Nadi Pembangunan itu membincangkan isu keseimbangan kerja dan rumah tangga di kalangan wanita hari ini.
Antara isu diperbincangkan pada seminar sehari anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu ialah cara bagaimana menggalakkan lebih ramai wanita menyertai dunia pekerjaan dan untuk memastikan wanita bekerja selesa pada kedudukan sekarang.

Bennetts yang juga penulis buku The Feminine Mistake: Are We Giving Up Too Much? berkata, pergantungan terhadap kewangan suami meletakkan wanita dalam posisi tidak kebal terutama dengan kadar perceraian yang tinggi dan jangka hayat wanita lebih lama berbanding lelaki.

“Perkahwinan membabitkan perhubungan ekonomi, tetapi bukan perhubungan yang sepadan, malah dalam banyak hal risiko ekonomi wanita jauh lebih tinggi. Kajian menunjukkan status hidup wanita menjunam sebanyak 36 peratus selepas bercerai, sementara duda pula meningkat kepada 28 peratus.

“Walaupun saya menasihatkan wanita supaya tidak berputus asa dalam kerja, tidak bermakna saya menafikan pilihan wanita untuk berhenti dan menumpukan sepenuh perhatian sebagai suri rumah. Ramai suri rumah berfikir sekiranya mereka berkerja, tumpuan terhadap anak berkurangan sedangkan ia tidak benar,” katanya.

Beliau berkata, kajian sosiologi yang membandingkan antara kanak-kanak yang mempunyai ibu bekerja berbanding ibu yang tidak bekerja tidak memberikan hasil yang terlalu berbeza.

“Kajian itu menunjukkan apabila wanita duduk di rumah, memang dia seorang yang gembira mendukung bayi mereka berbanding ibu yang perlu keluar bekerja, namun wanita berkenaan akan mulai rasa tertekan dan merasa kehilangan apabila anak semakin meningkat remaja dan kurang bergantung kepada ibu tadi,” katanya.

Bennetts, 57 berasal dari New York adalah ibu kepada dua anak berusia 15 dan 18 tahun, mendapat sokongan sepenuhnya daripada suaminya dan berkhidmat dengan majalah Vanity Fair sebagai editor penyumbang.

Terkini penulis buku kontroversi The Feminine Mistake yang menjurus kepada kritikan terhadap keputusan wanita bergantung sepenuhnya kepada kewangan suami boleh memberikan risiko kewangan untuk diri sendiri termasuk masa depan anak.

Katanya, apabila wanita meletakkan diri mereka dalam posisi pergantungan ekonomi kepada perkahwinan, wanita itu meletakkan diri dalam risiko ekonomi yang hebat kerana apa akan jadi sekiranya perkahwinan itu berakhir, atau suami tidak berkeupayaan, atau meninggal dunia.

“Kecenderungan saya adalah untuk melihat fakta, bukan berdebat mengenai perubahan nilai masyarakat. Fakta tidak dapat diubah, dan sebagai wartawan saya pentingkan fakta. Ramai suri rumah di Amerika Syarikat (AS) diletakkan dalam kelas kedua dan saya tidak mahu ini berlaku dan sekurang-kurangnya persepsi itu dihapuskan.

“Di New York ramai pasangan suami isteri berjaya dalam kerjaya. Perhubungan yang tulus akan lahir bila anda dan pasangan saling berlindung antara satu sama lain. Sekiranya saya merantau kerana tugasan, suami saya yang juga editor di Bloomberg News akan melakukan kerja rumah.

“Menerusi penyelidikan dalam menghasilkan buku berkenaan, jadikanlah tempat kerja lebih menarik dan anjal bagi wanita kerana ia dapat mengelakkan mereka daripada terus berhenti kerja,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Pengurusan Kerja/Hidup Seimbang, Barbara Holmes, berkata wanita yang memilih untuk terus bekerja selepas memulakan kehidupan berkeluarga, ada cabaran yang menanti kerana ia membabitkan perubahan landskap kerja.

Katanya, peningkatan usia persaraan dalam tenaga kerja menjadi lebih kompleks menyebabkan cabaran harus ditangani wanita semakin tinggi khususnya dalam mendapatkan kehidupan yang lebih seimbang.

“Perubahan demografik bermaksud tenaga kerja kini berbeza dari segi kepercayaan, kesukaran, etika dan pemikiran berhubung peranan wanita dalam dunia pekerjaan. Perubahan yang perlu boleh dilakukan organisasi membolehkan wanita lebih seronok dan efektif di tempat kerja,” katanya.

0 comments: